Gambaran keseluruhan Taoisme

Dari segi etimologi Perkataan Taosime adalah berasal dari kata akar “Tao” yang diterjemahkan dari perkataan Bahasa Cina “Dao” (道) yang erti hurufiahnya bermaksud “jalan” atau “cara”. Walaupun begitu, makna tafsiran perkataan "Dao" sebenarnya sangat luas khususnya dalam bidang falsafah Cina yang mempengaruhi kehidupan dan kebudayaan orang Cina sejak dahulu lagi. Taoisme pada asasnya adalah satu aliran pemikiran dalam falsafah Cina. Pada masa yang sama Taoisme dipraktikkan sebagai satu bentuk agama dalam masyarakat Cina. Dengan itu wujud apa yang dikatakan sebagai mazhab dao (bahasa Cina: daojia 道家) iaitu taoisme dari segi falsafah dan agama dao(Bahasa Cina: Daojiao 道教) iaitu dari segi agama.

Istilah "Taoisme" dalam perkataan bahasa Inggeris telah digunakan untuk menterjemahkan istilah Daojiao (道教) dan Daojia (道家). Aksara Tao 道 (atau Dao, tergantung kepada skim perumian yang disukai) membawa maksud harfiah "laluan" atau "cara", tetapi dalam agama dan falsalah Cina, aksara-aksara itu mempunyai maksud-maksud yang lebih abstrak. Perkataan majmuk Daojiao merujuk kepada Taoisme sebagai sebuah agama (iaitu orang yang bersembahyang di tempat pemujaan), manakala Daojia merujuk kepada kegiatan-kegiatan cendekiawan dalam bidang kajian mereka yang berdasarkan "Tao" atau "dao" .